Followers

Wednesday, September 14, 2016

AL HANNAN YANG DIRINDUI





Tujuh bulan bukan satu tempoh masa yang panjang bagi Al Hannan mengukir nama di persada kebangsaan. Musolla serba kekurangan berlokasi di sebuah sekolah luar bandar yang dikenali sebagai Musolla Al Hannan SK Seri Impian, pada awalnya ramai juga warga pendidik tidak sedar akan kewujudan sekolah ini, lagi pula musolla ini bukan pusat tumpuan solat warga sekolah. Pada awalnya masing-masing ada “port” tersendiri untuk solat. Ini kerana ruang sedianya yang agak daif.
Mac 2017, Ketua Panitia Pendidikan Islam  Ustazah Siti Alawiyah bt Idris memaklumkan untuk cuba masuk ASISS. Sokongan 100% diberikan dengan harapan membina Rumah Allah adalah ibadah yang amalannya dapat dikongsi bersama. Tidak meletak harapan yang tinggi cukup untuk “top three” daerah. Garapan kekuatan yang ada dengan penglibatan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibubapa dan Komuniti (PIBK) mencari dana, memerah idea, mengerah tenaga, menjana inovasi seiring seia sekata. Rezeki Al Hannan berjaya dinobatkan sebagai Johan Negeri pada Julai 2017 dan akan mewakili Pulau Pinang ke Persada ASISS Kebangsaan.
Warga Seri Impian berkampung di sekolah, 360 darjah berputar tanpa sedar letih lelah . Kelansungan berjalan dengan redhaNYA, letih lelah letak di tepi. Minda berputar laju menjana inovasi dan mengarap program sedia ada sebagai inovasi Al Hannan dengan dijenamakan semula. Sebagai pentadbir, turun padang ambil tahu, ambil kisah ambil peduli resam tingkah saban hari.
Salah satu Inovasi yang ingin saya kongsikan adalah program Murajaah@prep, rata-rata anak-anak Al Hannan Seri Impian adalah berlatar belakangkan sosial ekonomi yang rendah, tiada tempat untuk membuat kerja sekolah dan ulangkaji di rumah, alasan kukuh mereka untuk tidak siapkan kerja rumah. Bergandingan dengan PIBG dan PIBK, saya buka ruang belajar di kantin sekolah bagi murid tahun 6 pada setiap hari Isnin sehingga Rabu, jam 8.00 malam – 10.00 malam. Tiada guru untuk mengajar, cuma saya dan beberapa PIBK hadir bagi mengawal disiplin murid, Yang Dipertua PIBG hadir untuk imamkan solat Isyak di Musolla Al Hannan. Syukur program belajar santai ini membantu peningkatan pencapaian anak-anak Al Hannan dalam UPSR. Tahun 2016 hanya seorang mendapat 6A, tetapi tahun 2017 6 orang mendapat 6A. Peningkatan dari segi kualiti dan kuantiti peratus lulus dapat ditingkatkan . Program inovasi ini diteruskan pada tahun 2018 dan akan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.

Pada November 2017, tujuh bulan selepas ditransformasikan Al Hannan  bersedia untuk penilaian peringkat Kebangsaan ASISS. Bimbingan dan tunjuk ajar dari Sektor Pendidikan Islam JPN Pulau Pinang dan juga Unit Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, yang turun padang secara berkala, idea dibugarkan digarap dengan apa yang mampu untuk cuba berjuang walaupun usia baru setahun jagung. Kisah hujung minggu di Al Hannan, kisah malam di Al Hannan bukan kisah pelik.

Menyentuh tentang dana, Al Hannan tiada mempunyai sebarang dana khas. Betul kata ulamak, jika kita niat ingin imarahkan Rumah Allah, rezeki turun seperti hujan. Ada sahaja individu dan badan NGO yang menampung biaya transformasi Al Hannan dari sebuah Musolla daif yang sujud, dahi lekat pasir ke sebuah Musolla yang indah, damai, tenang untuk sujud pada yang ESA.
Kisah Al Hannan macam kisah dogeng, cuba-cuba buat, cuba-cuba masuk cari pengalaman. Allah bagi pelangi di sebalik cuba-cuba ini iaitu Anugerah Musolla Harapan Peringkat Kebangsaan  2017 kategori Sekolah Rendah. Kita bukan siapa-siapa, kita biasa-biasa sahaja, ukhuwah yang luar biasa antara warga sekolah dengan PIBG PIBK adalah petuanya. Sepanjang tujuh bulan proses transformasi Musolla, hari-hari ada sahaja PIBG PIBK yang hadir menghulurkan dana, tenaga dan masa untuk Al Hannan yang dirindui. Ada yang mengelap tingkap, ada yang mengecat pasu bunga, ada yang memasng karpet, ada yang melukis mural dinding, ada yang menyumbangkan penghawa dingan dan macam-macam lagi. Perjalanan Al Hannan perjalanan yang panjang dalam waktu yang singkat. Ketidaksamaan dapat dirungkai pabila semua warga dan PIBK dari sama-sama memberi dan memberi tanpa mengharapkan balasan, cuma memohon agar kerjabuat dalam redhaNYA.
Kisah perjalanan tujuh bulan al Hannan saya dedikasikan buat semua guru Pendidikan Islam, semua warga SK Seri Impian, semua PIBG PIBK yang terlibat secara lansung dan tidan lansung dan pembimbing, pemudahcara dari JPN PP dan PPD SPT. Dalam lelah ada senyuman, dalam pahit ada pengalaman. Pengalaman itu yang amat bernilai dan guru pada kita di masa akan datang.
Harapan saya dan pencinta Al Hannan agar ia akan menjadi “one stop centre” yang pasti untuk warga SK Seri Impian dan bagi semua yang hadir di SK Seri Impian. Saya merindui Al Hannan yang saban hari dapat dilihat dari tepi sisir tingkap bilik kerja saya, harapan saya juga agar al Hannan akan menjadi kerinduan semua insan.

No comments:

Post a Comment