Tujuh
bulan bukan satu tempoh masa yang panjang bagi Al Hannan mengukir nama di
persada kebangsaan. Musolla serba kekurangan berlokasi di sebuah sekolah luar
bandar yang dikenali sebagai Musolla Al Hannan SK Seri Impian, pada awalnya
ramai juga warga pendidik tidak sedar akan kewujudan sekolah ini, lagi pula
musolla ini bukan pusat tumpuan solat warga sekolah. Pada awalnya masing-masing
ada “port” tersendiri untuk solat.
Ini kerana ruang sedianya yang agak daif.
Mac
2017, Ketua Panitia Pendidikan Islam
Ustazah Siti Alawiyah bt Idris memaklumkan untuk cuba masuk ASISS.
Sokongan 100% diberikan dengan harapan membina Rumah Allah adalah ibadah yang
amalannya dapat dikongsi bersama. Tidak meletak harapan yang tinggi cukup untuk
“top
three” daerah. Garapan kekuatan yang ada dengan penglibatan Persatuan
Ibubapa dan Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibubapa dan Komuniti (PIBK) mencari
dana, memerah idea, mengerah tenaga, menjana inovasi seiring seia sekata. Rezeki
Al Hannan berjaya dinobatkan sebagai Johan Negeri pada Julai 2017 dan akan
mewakili Pulau Pinang ke Persada ASISS Kebangsaan.
Warga
Seri Impian berkampung di sekolah, 360 darjah berputar tanpa sedar letih lelah
. Kelansungan berjalan dengan redhaNYA, letih lelah letak di tepi. Minda
berputar laju menjana inovasi dan mengarap program sedia ada sebagai inovasi Al
Hannan dengan dijenamakan semula. Sebagai pentadbir, turun padang ambil tahu,
ambil kisah ambil peduli resam tingkah saban hari.
Salah
satu Inovasi yang ingin saya kongsikan adalah program Murajaah@prep, rata-rata
anak-anak Al Hannan Seri Impian adalah berlatar belakangkan sosial ekonomi yang
rendah, tiada tempat untuk membuat kerja sekolah dan ulangkaji di rumah, alasan
kukuh mereka untuk tidak siapkan kerja rumah. Bergandingan dengan PIBG dan
PIBK, saya buka ruang belajar di kantin sekolah bagi murid tahun 6 pada setiap
hari Isnin sehingga Rabu, jam 8.00 malam – 10.00 malam. Tiada guru untuk
mengajar, cuma saya dan beberapa PIBK hadir bagi mengawal disiplin murid, Yang
Dipertua PIBG hadir untuk imamkan solat Isyak di Musolla Al Hannan. Syukur
program belajar santai ini membantu peningkatan pencapaian anak-anak Al Hannan
dalam UPSR. Tahun 2016 hanya seorang mendapat 6A, tetapi tahun 2017 6 orang
mendapat 6A. Peningkatan dari segi kualiti dan kuantiti peratus lulus dapat
ditingkatkan . Program inovasi ini diteruskan pada tahun 2018 dan akan
diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.
Pada November 2017,
tujuh bulan selepas ditransformasikan Al Hannan
bersedia untuk penilaian peringkat Kebangsaan ASISS. Bimbingan dan
tunjuk ajar dari Sektor Pendidikan Islam JPN Pulau Pinang dan juga Unit
Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, yang turun
padang secara berkala, idea dibugarkan digarap dengan apa yang mampu untuk cuba
berjuang walaupun usia baru setahun jagung. Kisah hujung minggu di Al Hannan,
kisah malam di Al Hannan bukan kisah pelik.
Menyentuh tentang
dana, Al Hannan tiada mempunyai sebarang dana khas. Betul kata ulamak, jika
kita niat ingin imarahkan Rumah Allah, rezeki turun seperti hujan. Ada sahaja
individu dan badan NGO yang menampung biaya transformasi Al Hannan dari sebuah
Musolla daif yang sujud, dahi lekat pasir ke sebuah Musolla yang indah, damai,
tenang untuk sujud pada yang ESA.
Kisah
Al Hannan macam kisah dogeng, cuba-cuba buat, cuba-cuba masuk cari pengalaman.
Allah bagi pelangi di sebalik cuba-cuba ini iaitu Anugerah Musolla Harapan Peringkat Kebangsaan 2017 kategori Sekolah Rendah. Kita bukan siapa-siapa,
kita biasa-biasa sahaja, ukhuwah yang luar biasa antara warga sekolah dengan
PIBG PIBK adalah petuanya. Sepanjang tujuh bulan proses transformasi Musolla,
hari-hari ada sahaja PIBG PIBK yang hadir menghulurkan dana, tenaga dan masa
untuk Al Hannan yang dirindui. Ada yang mengelap tingkap, ada yang mengecat
pasu bunga, ada yang memasng karpet, ada yang melukis mural dinding, ada yang
menyumbangkan penghawa dingan dan macam-macam lagi. Perjalanan Al Hannan
perjalanan yang panjang dalam waktu yang singkat. Ketidaksamaan dapat dirungkai
pabila semua warga dan PIBK dari sama-sama memberi dan memberi tanpa
mengharapkan balasan, cuma memohon agar kerjabuat dalam redhaNYA.
Kisah
perjalanan tujuh bulan al Hannan saya dedikasikan buat semua guru Pendidikan
Islam, semua warga SK Seri Impian, semua PIBG PIBK yang terlibat secara lansung
dan tidan lansung dan pembimbing, pemudahcara dari JPN PP dan PPD SPT. Dalam
lelah ada senyuman, dalam pahit ada pengalaman. Pengalaman itu yang amat
bernilai dan guru pada kita di masa akan datang.
Harapan
saya dan pencinta Al Hannan agar ia akan menjadi “one stop centre” yang pasti untuk warga SK Seri Impian dan bagi
semua yang hadir di SK Seri Impian. Saya merindui Al Hannan yang saban hari
dapat dilihat dari tepi sisir tingkap bilik kerja saya, harapan saya juga agar
al Hannan akan menjadi kerinduan semua insan.